Isnin, 30 September 2019 | 10:43pm
Gambar menunjukkan pangkalan anggota tentera PLA Shek Kong di New Territories, Hong Kong. -Foto Reuters
Gambar menunjukkan pangkalan anggota tentera PLA Shek Kong di New Territories, Hong Kong. -Foto Reuters

China gandakan anggota tentera di Hong Kong - Diplomat

HONG KONG: China secara senyap menambah lebih dua kali ganda pengerahan pasukan keselamatan dari tanah besar di wilayah ini, menurut wakil asing dan penganalisis keselamatan, dalam tindakan paling dramatik oleh Beijing untuk persiapan potensi rusuhan bertukar ganas di pusat kewangan global itu.

Bulan lalu, Beijing mengerah ribuan askar menyeberangi sempadan ke bandar bergolak itu yang dilingkari bantahan sejak Jun lalu.

Agensi berita Xinhua menyifatkan operasi itu sebagai satu ‘pusingan’ rutin pasukan keselamatan China di wilayah ini sejak pengambilalihan dari Britain pada 1997.

Selepas sebulan, tujuh wakil Asia dan seorang wakil Barat memaklumkan Reuters, mereka pasti pengerahan akhir Ogos lalu bukan satu pusingan sama sekali, sebaliknya pengukuhan anggota.

Tiga daripada wakil berkenaan berkata, jumlah askar China di wilayah ini lebih dua kali ganda sejak bantahan anti-kerajaan bermula Jun lalu.

Mereka meletakkan anggota terbabit antara 3,000 hingga 5,000 beberapa bulan sebelum pengukuhan itu dan menganggarkan ia kini antara 10,000 hingga 12,000 anggota.

Wakil berkenaan percaya, China kini mengumpul pasukan aktif terbesarnya terdiri daripada anggota Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dan kakitangan anti-rusuhan lain serta peralatan di Hong Kong.

Paling ketara, lima daripada diplomat berkata, pengukuhan itu termasuk elemen Polis Rakyat Bersenjata (PAP), pasukan keselamatan separa tentera anti-rusuhan dan keselamatan dalaman tanah besar di bawah arahan berasingan PLA. Sehingga kini, kehadiran PAP di sini tidak diketahui secara umum.

Kementerian Pertananan China, anggota PLA di sini dan Pejabat Penerangan Majlis Negara serta Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau tidak menjawab soalan Reuters.

Seorang jurucakap polis di sini berkata, pasukan polis ‘berupaya mengekalkan ketenteraman awam dan undang-undang serta memulihkan keselamatan orang awam di Hong Kong.’

Selepas laporan ini diterbitkan, jurucakap Biro Keselamatan kerajaan Hong Kong, Lawrence Li mengeluarkan kenyataan mengatakan, anggota PLA beroperasi ‘menurut undang-undang ketat.’ -Reuters

Berita Harian X