Isnin, 30 September 2019 | 4:34pm
FOTO hiasan.

Arab Saudi larang pakaian tidak senonoh, bercumbu di khalayak

RIYADH: Arab Saudi akan mengenakan denda kepada 19 kesalahan berkaitan adab sopan seperti berpakaian tidak senonoh dan bercumbu di khalayak ramai, ketika negara itu membuka pintu kepada pelancong asing.

Keputusan Kementerian Dalam Negeri itu mengiringi pelancaran visa yang membolehkan pelancong dari 49 negara melawat antara negara paling konservatif di dunia.

Sehingga kini, kebanyakan pelancong adalah umat Islam dan ahli perniagaan.

Pelanggaran yang disenaraikan dalam laman web visa baharu termasuk membuang sampah, meludah, memotong barisan, mengambil gambar dan video orang lain tanpa kebenaran dan bermain muzik ketika waktu solat.

Bayaran denda antara 50 riyal (RM54) hingga 6,000 riyal (RM6,701).

“Peraturan bertujuan memastikan pelawat dan pelancong ke Arab Saudi sedar mengenai undang-undang berkaitan tingkah laku di tempat awam supaya mereka mematuhinya,” menurut kenyataan media tempatan.

Ia menyatakan, polis Arab Saudi mempunyai tanggungjawab tunggal memantau kesalahan dan mengenakan denda, komen yang kelihatan meminggirkan skuad agama negara itu yang kuasa mengejar suspek dan membuat tangkapan dibendung pada 2016.

Pasukan agama itu, dikenali sebagai mutawa, digunakan untuk memastikan penduduk solat lima kali sehari dan wanita memakai tudung.

Bagaimanapun, alkohol kekal diharamkan di Arab Saudi, yang menjadi halangan kepada sebahagian pelancong.

Sementara, masih tidak jelas sama ada lelaki dan wanita warga asing yang tidak berkahwin dibenarkan berkongsi bilik. — Reuters

Berita Harian X