Isnin, 30 September 2019 | 3:34pm
ANTARA cawangan Starbucks yang dicemari dengan grafiti di Hong Kong. - Foto Reuters
ANTARA cawangan Starbucks yang dicemari dengan grafiti di Hong Kong. - Foto Reuters

Starbucks jadi sasaran terbaharu penunjuk perasaan Hong Kong

HONG KONG: Jenama minuman terkemuka, Starbucks, menjadi sasaran terkini bantahan prodemokrasi di Hong Kong selepas seorang anggota keluarga yang memiliki francais restoran itu menyelar penunjuk perasaan.

Banyak cawangan Starbucks dicemari dengan grafiti hujung minggu lalu ketika bandar raya itu berhadapan dengan beberapa pertempuran paling sengit antara penunjuk perasaan tegar dan polis pencegah rusuhan sejak beberapa minggu ini.

Salah satu kafe di daerah Wanchai diconteng dengan slogan ‘boikot’ selain penghinaan kepada polis dan Maxim’s Caterers, rangkaian restoran besar Hong Kong yang mengendalikan cawangan Starbucks di bandar raya itu.

Vandalisme itu menunjukkan tekanan besar ke atas jenama antarabangsa ketika Hong Kong digegarkan dengan ketegangan politik terburuk dalam masa beberapa dekad.

Beijing menambah tekanan ke atas perniagaan untuk mengecam bantahan itu secara terbuka.

Jika berbuat demikian, mereka berhadapan tindakan penunjuk perasaan, tetapi berdiam diri bermakna berisiko menghadapi hukuman kewangan daripada tanah besar, pasaran jauh lebih mewah.

Kempen boikot terhadap Maxim’s memuncak selepas Annie Wu, anak perempuan kepada pengasas Maxim’s yang kaya-raya, menyampaikan ucapan awal bulan ini yang mengecam bantahan dan berkata pendirian tegas Beijing terhadap demokrasi perlu disokong.

Ucapan itu ditonjolkan penunjuk perasaan sebagai contoh bagaimana golongan elit mewah Hong Kong tidak peka dengan sentimen orang awam dan berada dalam cengkaman Beijing.

Aktivis demokrasi terkenal, Joshua Wong, antara mereka yang menggesa Starbucks dipulaukan sejak ucapan Wu dan lebih 50,000 menandatangani petisyen meminta syarikat beribu pejabat di Seattle itu memutuskan hubungan dengan Maxim’s. — AFP

Berita Harian X