Isnin, 30 September 2019 | 10:52am

19 maut, kilang terbakar di Ninghai, China

BEIJING: Seramai 19 orang maut dalam satu kebakaran membabitkan sebuah kilang di timur China lewat semalam, kata pihak berkuasa hari ini.

Kebakaran berlaku lewat semalam di sebuah kilang di daerah Ninghai timur wilayah Zhejiang, kata kerajaan tempatan di akaun rasmi, Weibo.

Difahamkan, insiden yang sedang disiasat itu berlaku di kemudahan yang dimiliki oleh Syarikat Ruiqi Daily Necessities.

Pihak berkuasa Ninghai berkata, daripada lapan mangsa yang berjaya diselamatkan tiga dilaporkan cedera dan sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kemalangan membabitkan industri sering berlaku di China dipercayai kerana penguatkuasaan undang-undang keselamatan yang longgar.

Pada Mac lalu, 78 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera selepas sebuah kilang kimia di wilayah timur Jiangsu meletup.

November lalu, sebuah trak yang membawa bahan kimia mudah terbakar meletup di pintu masuk sebuah kilang kimia di Zhangjiakou, bandar yang bakal menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, mengorbankan 23 orang dan mencederakan 22 orang lain. - AFP

Berita Harian X