Sabtu, 28 September 2019 | 5:19pm
Anggota keselamatan mengawal laluan di sebatang jalan raya di Srinagar. Foto AFP

Polis India tingkat kawalan di Kashmir

SRINAGAR: Pihak berkuasa India mengetatkan larangan terhadap pergerakan penduduk di Kashmir hari ini, bagi menghalang tunjuk perasaan yang dijangka tercetus susulan ucapan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), semalam, Imran memberi amaran bahawa keganasan bakal tercetus, jika India menarik balik sekatan di Kashmir.

Sekatan itu dikuatkuasakan sejak India menarik balik status autonomi yang dimiliki Kashmir pada Ogos lalu, selain menahan ribuan penduduk.

Sejurus selepas ucapan itu, ratusan penduduk Kashmir meluru keluar dari rumah mereka, sambil melaungkan slogan sokongan terhadap Imran, dan menuntut kemerdekaan wilayah berkenaan.

Hari ini, beberapa van polis yang dilengkapi dengan pembesar suara membuat pengumuman di beberapa bahagian di Srinagar, mengenai sekatan pergerakan, manakala beberapa pasukan lagi dikerah menghalang sebarang tunjuk perasaan.

Menurut saksi, pasukan keselamatan turut menghalang laluan ke pusat perniagaan utama, di sini, dengan kawat berduri.

“Langkah itu dianggap perlu susulan tunjuk perasaan di sekitar Srinagar malam, semalam, iaitu selepas Imran Khan menyampaikan ucapannya,” kata seorang pegawai polis, yang enggan mendedahkan identitinya. - Reuters

Berita Harian X