Jumaat, 27 September 2019 | 3:52pm

170,000 pelajar New Zealand lancar protes iklim kedua

WELLINGTON: Puluhan ribu kanak-kanak dan pelajar sekolah di seluruh New Zealand berhimpun bagi menyertai bantahan, serentak di seluruh dunia menggesa tindakan diambil berhubung perubahan iklim dunia.

Protes kedua yang tercetus selepas jutaan kanak-kanak berarak di seluruh dunia minggu lalu, turut dirancang di Asia dan Eropah sebelum berakhir pada acara kemuncaknya di Montreal, Kanada.

Aktivis remaja, Greta Thunberg dijadual berucap di perhimpunan gergasi berkenaan.

Thunberg, 16 yang mencetus bantahan dalam kalangan pelajar sekolah itu, mengecam pemimpin dunia yang tidak mengendahkan dasar perubahan iklim ketika berucap di sidang kemuncak Tindakan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu ini.

Penganjur School Strike for Climate NZ berkata di twitter, pihaknya menerima laporan, 170,000 orang keluar memprotes di seluruh negara.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang turut menghadiri sidang iklim di New York berkata, cadangan perjanjian perdagangan baharu beliau untuk memerangi perubahan iklim kini disokong empat negara.

Katanya rundingan akan bermula dengan Norway, Iceland, Costa Rica dan Fiji awal tahun depan sambil berharap ia akan turut disertai negara lain. - Reuters

Berita Harian X