Jumaat, 27 September 2019 | 3:50pm

Iran bebas kapal tangki UK, Stena Impero

DUBAI: Kapal tangki milik United Kingdom (UK) Stena Impero yang ditahan Iran Julai lalu mula meninggalkan pelabuhan Bandar Abbas hari ini, kata data pengesan perkapalan, Refinitiv.

Stena Impero ditahan Pengawal Revolusi Iran di Selat Hormuz selepas didakwa melanggar undang-undang marin dua minggu selepas Britain menahan kapal tangki Iran di perairan Gibraltar. Kapal itu dibebaskan Ogos lalu.

Data menunjukkan Stena Impero kini menuju ke Pelabuhan Rashid di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 250 kilometer dari Iran.

Terdahulu, Iran membebaskan tujuh daripada 23 anak kapal Stena Impero yang ditahan pada 19 Julai lalu.

Penahanan kapal tangki itu memburukkan lagi pertikaian di rantau berkenaan susulan serangan ke atas kapal dagang di perairan Teluk pada Mei dan Jun lalu.

Washington menuduh Iran menjadi dalang serangan berkenaan namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh kerajaan itu.

Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus tegang sejak Washington berundur dari pakatan nuklear Iran dan mengenakan sekatan ke atas negara itu bertujuan menyekat eksport minyaknya. - Reuters

Berita Harian X