Isnin, 16 September 2019 | 12:41pm
PEMANDANGAN bandar Hong Kong. - Foto Reuters
PEMANDANGAN bandar Hong Kong. - Foto Reuters

Hong Kong berfungsi semula selepas keganasan hujung minggu

HONG KONG: Perniagaan dan stesen kereta api bawah tanah di Hong Kong dibuka semula seperti biasa pagi ini, selepas kekecohan semalam yang menyaksikan polis melepaskan tembakan meriam air, gas pemedih mata dan peluru getah ke atas penunjuk perasaan yang menyekat jalan raya dan membaling bom petrol di luar ibu pejabat kerajaan.

Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan, ramai memakai topeng, topi dan kaca mata hitam untuk melindungi identiti, berlari di jalan raya, dikejar polis, memulakan kebakaran di jalan raya dan menyekat jalan raya di pusat bekas jajahan Britain itu, lokasi banyak perniagaan utama.

Pihak berkuasa segera bertindak memadamkan api dan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka, termasuk di kawasan membeli-belah dan daerah tumpuan pelancong Causeway Bay.

Polis mengeluarkan kenyataan awal hari ini yang mengecam keras selepas apa yang bermula sebagai bantahan secara aman merebak menjadi ganas di beberapa daerah utama perniagaan, membeli-belah dan pelancongan.

Kira-kira 20 penunjuk perasaan radikal menyerang dua pegawai polis petang semalam, membaling bom petrol, bata dan mengancam keselamatan pegawai.

Demonstrasi itu adalah yang terbaru dalam masa tiga bulan bantahan yang ada ketika bertukar ganas, dengan penunjuk perasaan marah dengan apa yang dilihat mereka sebagai campur tangan Beijing dalam hal ehwal Hong Kong.

Cetusan awal bantahan itu adalah rang ekstradisi yang kini ditarik balik, yang membenarkan suspek dibicarakan di China.

Sekurang-kurangnya 18 cedera, tiga daripadanya serius dalam keganasan semalam, menurut Pihak Berkuasa Hospital.

Hampir 1,400 ditahan sejak bantahan bermula Jun lalu, tetapi polis tidak memberikan maklumat terbaharu mengenai bilangan yang ditahan hujung minggu lalu. - Reuters

Berita Harian X