Ahad, 15 September 2019 | 1:30pm
Penunjuk perasaan Hong Kong berkumpul di luar Konsulat Britain hari ini menuntut bekas kuasa penjajah itu memastikan China menghormati komitmen kepada kebebasan bandar raya itu. - Foto Reuters
Penunjuk perasaan Hong Kong berkumpul di luar Konsulat Britain hari ini menuntut bekas kuasa penjajah itu memastikan China menghormati komitmen kepada kebebasan bandar raya itu. - Foto Reuters

Penunjuk perasaan Hong Kong tuntut Britain tekan China

HONG KONG: Penunjuk perasaan Hong Kong yang menyanyikan lagu ‘God Save the Queen’ dan mengibarkan bendera Union Jack berkumpul di luar Konsulat Britain hari ini menuntut bekas kuasa penjajah itu memastikan China menghormati komitmen kepada kebebasan bandar raya itu.

Wilayah yang ditadbir China itu digegarkan dengan bantahan prodemokrasi yang kadang-kadang bertukar ganas selama beberapa minggu.

Ia susulan penunjuk perasaan marah mengenai apa yang dilihat mereka sebagai campur tangan menakutkan Beijing dalam hal ehwal bandar raya mereka walaupun menjanjikan autonomi.

Deklarasi Bersama Sino-British yang ditandatangani pada 1984, menggariskan masa hadapan Hong Kong selepas ia dikembalikan kepada China pada 1997, formula ‘satu negara, dua sistem’, yang memastikan kebebasan tidak dinikmati di tanah besar.

‘Deklarasi Bersama Sino-British BATAL’, menurut satu sepanduk manakala satu lagi bertulis ‘SOS Hong Kong’.

“Saya di sini untuk menuntut United Kingdom melindungi hak penduduk di Hong Kong dan bersuara bagi Hong Kong menurut Deklarasi Bersama,” kata Jacky Tsang, 25.

Bantahan dicetuskan perundangan yang dicadangkan, kini ditarik balik, yang membolehkan suspek dihantar ke China untuk dibicarakan, walaupun Hong Kong mempunyai badan perundangan bebas sendiri. — Reuters

Berita Harian X