Khamis, 12 September 2019 | 5:37pm
Brenton Tarrant. - Foto Reuters
Brenton Tarrant. - Foto Reuters

New Zealand ubah tarikh bicara bagi hormati Ramadan

WELLINGTON: Mahkamah Tinggi New Zealand hari ini mengubah tarikh perbicaraan pengganas kulit putih yang dituduh membunuh 51 jemaah di dua masjid di Christchurch bagi mengelakkan ia bertembung dengan bulan Ramadan.

Perbicaraan Brenton Tarrant dijadualkan pada 4 Mei 2020, iaitu pada bulan Ramadan dalam kalendar Islam.

Kenyataan yang dikeluarkan mahkamah menyatakan pendakwa bimbang pertembungan itu akan menimbulkan masalah.

“Sebilangan saksi yang akan dipanggil ketika perbicaraan beragama Islam,” menurut kenyataan.

Ia menyatakan, tarikh permulaan perbicaraan baharu iaitu 2 Jun sudah disahkan selepas peguam tertuduh tidak membantah.

Mahkamah dijadualkan mengadakan sesi pendengaran ringkas pada 3 Oktober, apabila ia dijangka membuat keputusan berdasarkan permintaan peguam untuk memindahkan lokasi perbicaraan dari Christchurch.

Bandar raya itu menjadi lokasi kes tembakan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah moden New Zealand pada 15 Mac lalu, apabila Tarrant melepaskan tembakan di dua masjid sambil menyiarkan jenayah itu secara langsung di media sosial.

Pelampau kulit putih itu dituduh dengan 51 tuduhan membunuh, 40 cubaan membunuh dan terbabit dalam tindakan pengganas. - AFP

Berita Harian X