Khamis, 12 September 2019 | 1:50pm
PENULIS blog kembara, Jolie King dan Mark Firkin yang berasal dari perth.

Pasangan penulis blog antara ditahan di Iran

SYDNEY: Pasangan rakyat Australia yang ditahan di Iran dikenal pasti sebagai penulis blog kembara, selepas mengembara melalui jalan darat daripada negara asal mereka ke Britain.

Jolie King dan Mark Firkin yang berasal dari perth, berkongsi kisah perjalanan mereka di media sosial sejak dua tahun lalu tetapi ‘senyap’ selepas memuat naik tulisan kembara mereka di Kyrgyzstan dan Pakistan kira-kira 10 minggu lalu.

“Keluarga kami mahu Mark dan Julie selamat kembali secepat mungkin,” kata satu kenyataan keluarga mereka.

Sebelum memulakan pengembaraan, kedua-dua pasangan itu menulis di laman blog bahawa mereka tidak sabar untuk berkongsi pengalaman dan keindahan setiap destinasi yang mereka lawati.

Australia mendedahkan pada Rabu lalu tiga rakyatnya ditahan oleh pihak berkuasa Tehran.

Menurut laporan akhbar The Times of London pada Rabu, individu ketiga yang turut ditahan ahli akademik Britain-Australia yang menyambung pengajian di Universiti Cambridge.

Pada masa sama, dia bertugas sebagai pensyarah di Australia ketika ditahan di Iran hampir setahun lalu.

Berita penahanan mereka diketahui selepas Australia mengumumkan bakal menyertai misi melindungi laluan perkapalan di Selat Hormus, ketika ketegangan sedang memuncak di rantau Teluk.

Susulan itu, Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia berkata, bantuan konsular sudah disediakan untuk membantu tiga tahanan terbabit dan menggesa rakyat Australia agar mempertimbangkan semula jika bercadang untuk melawat Iran. - AFP

Berita Harian X