Rabu, 11 September 2019 | 1:56pm

Mangsa rogol tuntut undang-undang dirombak

TOKYO: Kumpulan hak asasi wanita di sini, mengadakan bantahan di jalanan hari ini, kali keenam dalam tempoh beberapa bulan susulan kemarahan terhadap kelemahan undang-undang ‘lapuk’, menyebabkan pembebasan seorang lelaki yang melakukan penderaan seksual terhadap anak perempuannya.

Mahkamah memutuskan lelaki yang melakukan penderaan seksual sejak anaknya berusia 13 sehingga 19 tahun, malah bertindak ganas jika kehendaknya ditolak, dibebaskan.

Lelaki itu dibebaskan kerana berdasarkan undang-undang negara itu, pendakwa perlu membuktikan berlakunya paksaan, ugutan, atau mangsa tidak berdaya.

Rayuan terhadap keputusan itu sedang dikemukakan tetapi ia mencetuskan tunjuk perasaan oleh ratusan orang di beberapa bandar di negara itu, hari ini.

Sementara itu, petisyen dalam talian menuntut agar seks yang dilakukan tanpa rela dianggap sebagai rogol - mendapat tandatangan lebih daripada 47,000 orang, sudah dihantar kepada kementerian kehakiman.

Aktivis mangsa penderaan seksual, Jun Yamamota yang pernah didera bapanya ketika berusia 13 dan 20 tahun berkata, mendengar kisah itu saja sudah meloyakan.

“Sekali lagi, itu yang pernah saya fikirkan, undang-undang Jepun tidak mengiktiraf kesalahan seksual seperti ini, adalah jenayah. Saya tidak dapat bertolak ansur lagi,” kata Yamamota yang menuntut agar kanun acara jenayah Jepun dipinda.

Dalam kes terbaru, mahkamah mengakui bahawa remaja itu dipaksa untuk melakukan hubungan seksual tanpa rela dan ditundukkan secara psikologi oleh bapanya kerana penderaan itu berulang.

Bagaimanapun, tidak jelas adakah remaja itu ‘tidak berdaya menolak’ menyebabkan bapanya dibebaskan daripada tuduhan merogol.

Menurut Yamamota, apabila terperangkap atau diserang oleh seseorang yang percayai, sudah pasti mangsa terkejut dan tidak mampu melawan.

“Malah dalam kes bapa merogol anak, mahkamah mengatakan perlakuan itu mampu ditolak oleh si anak dan bapa dibebaskan. Undang-undang ini ternyata bermasalah,” katanya. - AFP

899 dibaca
Berita Harian X