Selasa, 10 September 2019 | 6:27pm
SEEKOR buaya yang digelar ‘Howard’ oleh penduduk tempatan menjadi punca perbalahan. Foto AFP

'Howard' jadi punca kerajaan, penduduk bertelagah

CAIRNS: Seekor buaya yang tinggal dalam sungai di barat laut Australia menjadi punca perbalahan antara pihak berkuasa yang mahu memindahkan ia dan penduduk tempatan yang sudah menyayangi reptilia ganas itu.

Pegawai di Queensland memasang perangkap untuk menangkap buaya air masin itu, yang digelar Howard oleh penduduk tempatan, kerana ia membahayakan manusia.

Seorang pelajar yang kecewa dengan keputusan itu menulis surat kepada menteri alam sekitar negeri, Leeanne Enoch, merayu supaya beliau membenarkan buaya berkenaan kekal di situ.

“Saya menetap di Bamboo Creek Road selama lima tahun dan suka melihat Howard berjemur dan melihat ia dari jambatan setiap tengah hari,” kata Elroy Wood, 10, dalam suratnya.

David White, yang memiliki perniagaan membawa pelancong belayar melihat buaya, berkata ada 300 emel dihantar untuk menyokong reptilia sepanjang empat meter itu kekal di situ, dan cuma ada satu rungutan mengenainya.

Malah Zoo Australia di Queensland yang dikendalikan balu mendiang ‘pemburu buaya’ Steve Irwin, turut menyatakan sokongan.

Zoo itu, dalam tweet berkata ia bangga dengan usaha Elroy melindungi Howard, menambah pemangsa di tempat teratas rangkaian makanan itu adalah amat penting kepada sebarang ekosistem.

Bagaimanapun, kerajaan menyatakan perangkap akan kekal di situ, berkata ia tidak akan dibunuh apabila ditangkap.

Keseimbangan antara keperluan melindungi keselamatan awam dan memulihara jumlah buaya luar, perlu dicari, kata pegawai jabatan alam sekitar. — AFP

2200 dibaca
Berita Harian X