Selasa, 10 September 2019 | 1:58pm
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam pada sidang media di Hong Kong, hari ini. Foto EPA

Washington digesa tidak campur tangan hal dalaman Hong Kong

HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam memberi amaran kepada Amerika Syarikat, supaya tidak campur tangan dalam pergerakan prodemokrasi di negara itu, selepas penunjuk perasaan menggesa Washington meningkatkan tekanan terhadap Beijing.

Jutaan penduduk bandar raya itu mengadakan demonstrasi sejak 14 minggu lalu, dan ia dianggap cabaran terbesar kepada Beijing, sejak mengambil alih pentadbiran hab kewangan itu daripada Britain pada 1997.

Penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi pada Ahad lalu, berarak ke konsulat Amerika Syarikat bagi mendesak Kongres, meluluskan rang undang-undang bagi menyokong pergerakan prodemokrasi.

Namun, cadangan itu dikatakan akan menjejaskan keistimewaan perdagangan antara Hong Kong dan Amerika Syarikat, yang mewajibkan pemeriksaan berkala, bagi menentukan pihak berkuasa menghormati undang-undang asas, yang dimiliki oleh wilayah berstatus separuh autonomi itu.

Lam berkata, sebarang perubahan dalam hubungan ekonomi dengan Washington akan mengancam faedah bersama yang dimiliki kedua-dua negara.

“Sebenarnya, amat tidak sesuai untuk mana-mana negara campur tangan dalam hal ehwal dalaman Hong Kong.

“Saya harap tiada pihak di Hong Kong yang berusaha mendesak Amerika Syarikat untuk meluluskan akta berkenaan,” katanya kepada wartawan. - AFP

438 dibaca
Berita Harian X