Isnin, 2 September 2019 | 7:39pm
RIBUAN pelajar berpakaian hitam berkumpul hari ini pada permulaan boikot kelas di universiti selama dua minggu. - Foto EPA
RIBUAN pelajar berpakaian hitam berkumpul hari ini pada permulaan boikot kelas di universiti selama dua minggu. - Foto EPA

Pelajar Hong Kong mula boikot universiti

HONG KONG: Ribuan pelajar berpakaian hitam berkumpul hari ini pada permulaan boikot kelas di universiti selama dua minggu, menambah tekanan ke atas pemimpin Hong Kong untuk menamatkan bantahan antikerajaan yang semakin ganas.

Pelajar menjadi tulang belakang pergerakan yang muncul membantah rancangan kerajaan membenarkan ekstradisi ke China tetapi merebak menjadi tunjuk perasaan terhadap kepemimpinan yang disokong Beijing.

Ratusan ditahan dalam pertempuran ganas dengan polis, dan Beijing melabel penunjuk perasaan sebagai pengganas dengan ruangan editorial agensi berita memberi amaran pengakhiran akan tiba.

Hong Kong menikmati kebebasan yang tiada di China menurut dasar ‘satu negara, dua sistem’, yang diwarisi dalam penyerahan wilayah itu oleh Britain pada 1887, tetapi penduduk tempatan bimbang hak itu semakin hilang.

Hari ini, ketika universiti dibuka semula selepas cuti musim panas, ribuan pelajar memboikot kelas dan sebaliknya berkumpul di tengah Hong Kong.

“Hari ini adalah hari pertama belajar, tetapi saya masih mahu keluar berkumpul.

“Saya tidak rasa akan ketinggalan apa-apa. Ini juga satu bentuk pendidikan,” kata seorang pelajar, Tommy, 19.

Di tempat lain, pelajar sekolah menengah membentuk rantai manusia di sekolah dan jururawat membawa sepanduk prodemokrasi bagi menunjukkan sokongan kepada pergerakan antikerajaan. — AFP

Berita Harian X