Isnin, 2 September 2019 | 12:52pm
Gambar fail menunjukkan pemohon suaka dibawa menaiki tongkang ke jeti Pulau Christmas, Australia. -Foto Agensi
Gambar fail menunjukkan pemohon suaka dibawa menaiki tongkang ke jeti Pulau Christmas, Australia. -Foto Agensi

Australia pintas bot suaka bawa 13 rakyat Sri Lanka

SYDNEY: Tentera Australia memintas sebuah bot Sri Lanka membawa 13 pencari suaka bulan lalu, kata Menteri Dalam Negerinya, Peter Dutton hari ini ketika Canberra mempertahankan penempatan semula sebuah keluarga Tamil ke pusat tahanan terpencil.

Dutton berkata, bot terbabit, dipintas di luar Pulau Cocos, sebuah wilayah pedalaman Australia di Lautan Hindi adalah bot ke-13 dari Sri Lanka yang cuba memasuki Australia untuk mencari suaka sejak 18 bulan lalu.

“Ini adalah alasan mengapa Sri Lanka menjadi negara pertama yang saya lawati selepas pilihan raya. Ia bagi memastikan kedatangan bot terbabit dihentikan. Ancaman itu bukan main-main,” kata Dutton kepada akhbar Courier-Mail. Kerajaan konservatif Australia dipilih semula Mei lalu.

Mengikut dasar imigresen tegar Canberra, bakal pemohon suaka yang dipintas di laut ketika cuba sampai ke Australia dihantar pulang ke negara asal.

Pemohon suaka yang sampai ke Australia dihantar ke kem tahanan dikendalikan negara itu di Papua New Guinea dan pulau Pasifik Selatan di Nauru, di mana mereka ditahan dalam keadaan dikritik secara meluas oleh organisasi seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, pengkritik menuduh kerajaan Australia cuba mengalihkan pendapat umum susulan penempatan semua sebuah keluarga pemohon suaka Tamil ke Pulau Christmas Sabtu lalu. -Reuters

Berita Harian X