Jumaat, 30 Ogos 2019 | 1:27pm
PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-un. - Foto AFP
PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-un. - Foto AFP

Korea Utara perkukuh kuasa monolitik Kim Jong-un

SEOUL: Korea Utara menaikkan status pemimpin Kim Jong-un ke tahap yang hampir menyamai datuknya, pengasas negara itu, Kim Il Sung, kata penganalisis hari ini selepas Pyongyang merombak semula perlembagaan bertujuan memperkukuhkan kuasanya.

Ketika dilantik sebagai pemimpin bagi menggantikan bapanya Kim Jong-Il pada akhir 2011, usia Jong-un belum pun mencecah 30 tahun.

Namun beliau menunjukkan kewibawaannya, memerintah negara secara kuku besi, sambil memantau sendiri empat daripada enam ujian nuklear serta menghukum mati bapa saudaranya yang disyaki menjadi pengkhianat.

Jong-un secara rasminya adalah pengerusi parti memerintah, Parti Pekerja dan pengerusi badan tertinggi kerajaan, Suruhanjaya Hal Ehwal Negara (SAC). Pun begitu, datuknya masih kekal sebagai Presiden Abadi negara walaupun meninggal dunia pada 1994.

Parlimen Korea Utara, Perhimpunan Agung Rakyat, meluluskan beberapa rombakan perlembagaan Khamis lalu bertujuan memperkukuhkan ‘kepimpinan monolitik’ Jong-un.

Klausa terbaharu itu mengisytiharkan bahawa pengerusi SAC adalah ‘pemimpin agung Parti, negara dan angkatan bersenjata DPRK’ bersesuaian dengan kehendak dan keinginan sebulat suara dari seluruh rakyat Korea,” kata Ketua Perundangan, Choe Ryong.

Sebagai pengerusi SAC, Jong-un diberi kuasa untuk mengeluarkan dekri, melantik atau menggantikan utusan diplomatik negara.

Penganalisis di Institut Sejong di Seoul, Cheong Seong-chang berkata, rombakan itu lebih memperkukuhkan lagi monopoli kuasa beliau dalam semua hal ehwal negara.

“Di bawah perlembagaan baharu itu, misi dan kekuasaan Jong-un sebagai pengerusi SAC kini hampir menyamai Kim Il Sung, ketika beliau menjadi Presiden,” katanya kepada AFP. - AFP

Berita Harian X