Khamis, 29 Ogos 2019 | 12:10pm
Pengasas syarikat YG Entertainment, Yang Hyun-suk (tengah) bercakap pada wartawan setiba di Agensi Polis Metropolitan Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA

Penerbit terkenal K-pop disiasat polis susulan kes judi, pelacuran

SEOUL: Penerbit muzik yang bertanggungjawab di atas kejayaan bintang K-pop terkenal disoal siasat polis hari ini berkaitan siasatan mengenai perjudian haram dan pelacuran yang menggegarkan industri musim Korea Selatan.

Menurut siasatan polis, rangkaian bintang pop, ahli perniagaan dan polis didakwa bersekongkol dan membolehkan mereka mengelakkan cukai, terbabit dengan rasuah dan pelacuran di beberapa kelab mewah di daerah Gangnam di Seoul.

Pengasas syarikat YG Entertainment, Yang Hyun-suk, yang menguruskan ramai artis terkenal sebagai Big Bang, Blackpink dan beberapa lagi, tiba untuk soal siasat di balai polis Seoul.

“Saya akan menjelaskan kedudukan saya dengan jujur kepada polis,” kata Yang kepada wartawan sebelum memasuki balai.

Polis enggan memberi komen mengenai siasatan yang masih berterusan.

Yang, juga bekas penghibur legenda, meletak jawatan sebagai ketua penerbit YG Jun lalu dan menafikan tuduhan berhubung skandal dadah dan seks membabitkan beberapa artisnya.

Skandal memuncak Mac lalu apabila salah seorang anggota kumpulan Big Bang, Seungri, 28, bersara daripada dunia hiburan berhubung tuduhan rasuah seks, memaksa polis menyiasat dan membawa kepada peletakan jawatan tiga lagi bintang K-pop. — Reuters

Berita Harian X