Khamis, 15 Ogos 2019 | 12:51pm
BRENTON Tarrant. - Foto Reuters
BRENTON Tarrant. - Foto Reuters

Pembela mohon ubah lokasi perbicaraan kes tragedi Christchurch

CHRISTCHURCH : Peguam suspek tembakan rambang yang membunuh 51 jemaah di dua masjid di Christchurch memohon untuk perbicaraan kes berkenaan dipindahkan dari selatan bandar itu ke lokasi lain.

Hakim Mahkamah Tinggi Cameron Mander memerintahkan sesi pendengaran untuk permohonan memindahkan kes terbabit ke bandar terbesar New Zealand, Auckland diadakan pada 3 Oktober dan defendan, Brenton Tarrant dari Australia akan berada dalam tahanan sepanjang tempoh itu.

Pihak pembela tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung permintaan untuk memindahkan lokasi perbicaraan itu.

Tarrant, membunuh 51 orang dalam tragedi tembakan rambang terburuk negara itu, membabitkan jemaah solat Jumaat di dua masjid pada 15 Mac.

Serangan berkenaan turut disiarkan secara langsung di Facebook.

Tarrant, 29 mengaku tidak bersalah atas kesemua 92 pertuduhan yang dikenakan.

Dia juga tidak hadir pada sesi video seperti yang dilakukan pada sesi sebelum ini.

Mander berkata, Tarrant beroleh kebenaran untuk tidak menghadiri sesi terbabit kerana ia hanya berkisarkan pada hujah perundangan.

Suspek pelampau kulit putih itu kini berada dalam tahanan di penjara kawalan ketat di Auckland, kira-kira 90 minit penerbangan dari Christchurch. - Reuters

Berita Harian X