Sabtu, 10 Ogos 2019 | 8:47pm
Pegawai keselamatan memantau keadaan di Srinagar ekoran perintah berkurung. - Foto AFP

Sambutan Aidiladha di Kashmir terjejas dengan perintah berkurung

SRINAGAR: Penduduk Kashmir di India terpaksa beratur panjang di mesin ATM dan kedai makanan, selepas pihak berkuasa negara itu melonggarkan perintah berkurung bagi membolehkan umat Islam melakukan persediaan sambutan Aidiladha.

Bagaimanapun, ramai tentera kekal mengawal di jalanan, sehari selepas pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan tunjuk perasaan disertai 8,000 membantah tindakan kerajaan menarik balik kuasa autonomi di Kashmir.

Sambutan Aidiladha Isnin depan di wilayah itu bakal menjadi ujian terbaharu terhadap perintah berkurung India, selepas kerajaan menarik balik hak terhadap hartanah dan pekerjaan penduduk tempatan Muslim, selepas berdekad-dekad.

Rangkaian internet dan telefon diputuskan selain perintah berkurung untuk mencegah pergolakan, selepas langkah kerajaan India menukar perlembagaan yang disifatkan Perdana Menteri Narendra Modi sebagai perlu untuk membawa keamanan dan kesejahteraan di wilayah bergolak itu.

“Kami tidak boleh melakukan apa-apa, semua orang dipantau. Hidup kami dibelenggu pagar berduri dan pusat pemeriksaan.

“Masih ATM tidak mempunyai tunai cukup, jadi orang ramai terpaksa beratur di mesin yang masih mempunyai wang. Kami juga perlu makanan untuk Aidiladha,” kata penduduk.

Dalam ucapan yang disiarkan di seluruh negara, minggu ini, Modi berkata, penduduk Kashmir akan dibenarkan untuk menyambut Aidiladha.

Namun laporan media berkata, pihak berkuasa hanya akan membuat keputusan melonggarkan perintah berkurung, esok. - AFP

Berita Harian X