Khamis, 8 Ogos 2019 | 3:26pm
Aktivis kumpulan 'Forum Belia untuk kumpulan Kashmir' melaungkan slogan ketika mereka membakar gambar Perdana Menteri Narendra Modi dan bendera India ketika protes di Lahore. - Foto AFP

India tahan 560 dalam gerakan terbaharu di Kashmir

NEW DELHI: Lebih 500 ditahan dalam tindakan keras terbaharu di Kashmir India yang kian tegang sejak kerajaan berhaluan kanan memansuhkan autonomi wilayah itu.

Profesor universiti, pemimpin perniagaan dan aktivis antara 560 yang dibawa ke pusat tahanan sementara, sebahagiannya ditahan ketika serbuan tengah malam, di bandar raya Srinagar, Baramulla dan Gurez, lapor Press Trust of India dan Indian Express.

Penahanan dibuat ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi, dijangka memberi ucapan menerusi radio lewat hari ini untuk menjelaskan keputusan kerajaan nasionalis Hindu pimpinannya membatalkan status khas yang selama tujuh dekad kepada wilayah itu menerusi perintah kuasa presiden.

Parlimen turut meluluskan perundangan memisahkan wilayah rebutan itu, yang berhadapan pemberontakan bersenjata terhadap pentadbiran India sejak 1989, kepada dua bahagian yang akan ditadbir secara langsung oleh kerajaan pusat.

Puluhan ribu tentera India melaksanakan perintah berkurung termasuk memotong bekalan internet dan perkhidmatan telefon, dan cuma membenarkan pergerakan terhad di atas jalan raya yang selalu sibuk dengan pelancong yang membanjiri wilayah indah itu.

Pakar memberi amaran penduduk lembah itu berkemungkinan meledakkan kemarahan terhadap tindakan sehala mengejutkan dibuat kerajaan itu sebaik sekatan ditarik balik, yang mungkin secepat sambutan Aidiladha Isnin ini.

Semalam, agensi keselamatan penerbangan India menasihatkan lapangan terbang di seluruh negara meningkatkan kawalan keselamatan kerana keselamatan sivil muncul sebagai sasaran mudah serangan militan yang mendalangi gerakan di Kashmir.

Perkembangan di Kashmir menimbulkan kemarahan Pakistan, yang berkata ia menegangkan hubungan diplomatik negara itu dengan India. — AFP

Berita Harian X