Isnin, 5 Ogos 2019 | 10:05am
Imran meminta Trump menjadi orang tengah dalam isu pergolakan di Kashmir. -Foto Agensi

Pakistan gesa Trump jadi pengantara isu Kashmir

ISLAMABAD/SRINAGAR: Ketegangan antara India dan Pakistan berhubung Kashmir berpotensi meletus kepada krisis serantau dan ini adalah masa sesuai buat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjadi orang tengah, kata Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan semalam.

Komen Imran dibuat sehari selepas Pakistan menuduh India menggunakan bom berangkai, mengorbankan dua orang awam dan mencederakan 11 lain di rantau bertelingkah Kashmir. India menafikan ia menggunakan senjata terbabit.

“Presiden Trump menawarkan menjadi orang tengah dalam isu Kashmir. Ini adalah masanya beliau berbuat demikian kerana situasi semakin buruk di sana dan di sepanjang Garisan Kawalan (LOC), tindakan agresif diambil oleh tentera penjajah India.

“Situasi ini berpotensi meletus kepada krisis serantau,” kata Imran merujuk sempadan tentera de facto dikawal ketat yang membahagikan Kashmir kepada dua bahagian antara India dan Pakistan.

Kementerian Luar India dan Rumah Putih tidak menjawab ulasan mengenai kenyataan dikeluarkan Imran.

Julai lalu, Trump memberitahu media, Perdana Menteri India Narendra Modi bertanya kepadanya ketika pertemuan di Jepun jika beliau bersedia menjadi orang tengah dalam isu Kashmir. India menafikan Modi bertanya untuk bantuan pengantara.

India sekian lama menolak sebarang cadangan pembabitan pihak ketiga dalam menangani isu Kashmir dan memberi reaksi kepada tawaran Trump bulan lalu, mengatakan ia akan menguruskan isu Pakistan hanya secara dua hala.

Trump minggu lalu mengulangi tawarannya, mengatakan beliau akan campur tangan jika diminta dan ‘terpulang kepada Modi membuat keputusan.’

Ketegangan memuncak terutama sejak Jumaat lalu, apabila pihak berkuasa India di Kashmir mengeluarkan amaran berhubung serangan militan mungkin oleh kumpulan berpusat di Pakistan, namun ditolak negara itu.

Bagaimanapun, ribuan pelancong India, penganut Hindu dan pekerja meninggalkan rantau itu dalam keadaan panik. -Reuters

Berita Harian X