Ahad, 4 Ogos 2019 | 8:13am
Gambar dikeluarkan ADPF menunjukkan pasangan kembar Bangladesh, Rabeya dan Rukaya ketika mengunjungi Budapest, sebagai persediaan pemisahan akhir dilakukan di Dhaka, Bangladesh. -Foto AFP
Gambar dikeluarkan ADPF menunjukkan pasangan kembar Bangladesh, Rabeya dan Rukaya ketika mengunjungi Budapest, sebagai persediaan pemisahan akhir dilakukan di Dhaka, Bangladesh. -Foto AFP

Pakar bedah Hungary pisahkan kembar Bangladesh bercantum di kepala

DHAKA: Pasangan kembar Bangladesh yang bercantum di kepala kini beransur pulih kelmarin selepas pakar bedah Hungary melakukan pembedahan tanpa henti selama 30 jam untuk memisahkan tengkorak dan otak kanak-kanak berkenaan.

Kembar berusia tiga tahun diberi nama Rabeya dan Rukaya, mengalami gangguan embriologi jarang ditemui yang menjejaskan anggaran satu bagi setiap lima hingga enam juta kelahiran.

“Mereka kini dalam keadaan stabil selepas pemisahan akhir,” kata Dr Andras Csokar, pakar bedah saraf Yayasan Tindakan Individu Tidak Upaya (ADPF) yang menguruskan pasukan pembedahan Hungary seramai 35 orang.

Gambar dikeluarkan (ADPF) menunjukkan pasukan pembedahan Hungary terdiri daripada pakar bedah plastik, Dr Gergely Pataki (kiri) dan pakar bedah saraf Dr Andras Csokay (kanan) bekerja tanpa henti memisahkan kembar Rabeya dan Rukaya di hospital tentera Dhaka, Bangladesh. -Foto AFP

Selepas pemisahan di Hospital Tentera Gabungan di sini, pasukan Dr Csokay mula menutup kawasan luka dengan tisu lembut dibentuk menggunakan proses penumbuhan tisu dijalankan di Hungary.

Bapa kanak-kanak itu, Rafiqul Islam, berkata, dirinya lega dan bersyukur dengan pembedahan itu.

“Doktor sudah memisahkan anak saya. Saya melihatnya dengan mata sendiri. Mereka kini dalam keadaan baik,” kata Rafiqul, seorang guru dari daerah luar bandar barat laut di Padna.

Beliau memuji doktor berkenaan dan berharap anaknya dapat pulih sepenuhnya serta membesar dalam keadaan sihat dan normal.

Sebelum pembedahan, doktor mengatakan hanya ada 50 peratus peluang kembar berkenaan hidup. -AFP

Berita Harian X