Selasa, 30 Julai 2019 | 7:19am

11 maut, tiga cedera terkena kejutan elektrik di Pakistan

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 11 mangsa, termasuk kanak-kanak terbunuh manakala tiga lagi cedera akibat terkena kejutan elektrik, berikutan cuaca buruk di Pakistan.

Dalam kes pertama, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, iaitu Farzana, maut apabila terkena kejutan elektrik di luar rumahnya di wilayah Akhtar Colony, menurut pegawai dan perkhidmatan penyelamat.

“Kejadian itu turut meragut nyawa seorang lelaki, Ismael, 30,” kata polis.

Sementara Qasim Zia, 39, sedang berada di jalan raya berhampiran rumahnya di Khamosh apabila beliau tersentuh tiang elektrik dan meninggal dunia.

Seorang lelaki dikenali sebagai Sharafat, 30, maut apabila terkena kejutan elektrik di dalam rumahnya di Khayaban-i-Tanzeem.

Dua budak lelaki berusia sembilan dan 10 tahun turut menerima nasib sama.

Sementara seorang budak lelaki berusia 12 tahun berada dalam keadaan kritikal apabila tersentuh tiang elektrik di Mauripur dan dimasukkan ke hospital berhampiran.

Dalam satu lagi kejadian, Salman Farooq, 50, cedera dalam kejadian di wilayah Machar dan Karim Shabbir, 40, pula cedera parah apabila bumbung rumahnya runtuh.

Sementara itu, sebahagian besar Karachi mengalami gangguan elektrik manakala wilayah Sindh mengalami hujan lebat semalam.

Inspektor Jeneral Polis Sindh, Kaleem Imam, mengarahkan pegawai sentiasa berjaga-jaga dan memastikan penduduk diselamatkan dalam kes kecemasan.

Beliau juga mengarahkan pasukan polis memantau usaha bantuan. — Agensi

Berita Harian X