Isnin, 29 Julai 2019 | 11:48am
Tentera laut Amerika Syarikat memantau kapal yang berlayar di Selat Hormuz. - Foto EPA

Korea Selatan rancang sertai AS kawal Selat Hormuz

SEOUL: Korea Selatan merancang menyertai pasukan maritim diketuai Amerika Syarikat di Asia Barat dengan menghantar unit tentera laut, termasuk kapal pemusnah, untuk membantu mengawal kapal tangki yang berlayar sepanjang Selat Hormuz.

Ketegangan antara Iran dan AS memuncak sejak Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear tahun lalu dan mengenakan semula sekatan ke atas Tehran.

Serangan terhadap kapal tangki di Selat Hormuz di luar pantai Iran sejak beberapa bulan ini memburukkan keadaan, memaksa pegawai AS menggesa sekutunya menyertai misi keselamatan maritim yang dirancang.

Akhbar Maekyung, memetik kenyataan pegawai kanan kerajaan tidak dikenali, berkata Korea Selatan memutuskan menghantar unit antilanun Cheonghae, yang beroperasi di perairan Somalia, berkemungkinan bersama-sama helikopter.

Kementerian Pertahanan di Seoul berkata, kerajaan meneroka langkah melindungi kapalnya di kawasan itu tetapi keputusan belum dibuat.

“Memang jelas kami mahu melindungi kapal yang belayar melalui Selat Hormuz, bukan begitu?

“Jadi, kami mempertimbangkan pelbagai kemungkinan,” timbalan jurucakap kementerian, Ro Jae-cheon, kepada taklimat akhbar hari ini.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, minggu lalu berkata Washington meminta Korea Selatan, Jepun, Perancis, Jerman, Australia dan beberapa negara lain menyertainya.

Penasihat Keselamatan AS, John Bolton, melawat Seoul minggu lalu dan membincangkan isu itu dengan pegawai kanan, tetapi Ro berkata tiada permohonan rasmi dibuat pada pertemuan berkenaan. — Reuters

Berita Harian X