Jumaat, 26 Julai 2019 | 7:37pm
Anggota marin Amerika Syarikat mengawasi kapal milik Iran dari kapal USS John P. Murtha di Selat Hormuz. Foto Reuters

9 anak kapal MT Riah warga India dibebaskan

NEW DELHI: Iran dilapor sudah membebaskan sembilan daripada 12 kru kapal tangki warga India yang mengibarkan bendera Panama, yang ditahan pada 14 Julai lalu.

Berita pembebasan anak kapal itu dimaklumkan oleh Kementerian Luar India, hari ini.

Terdahulu, Iran menuduh kapal MT Riah menyeludup bahan bakar kontraban ketika ia ditahan, sekali gus meningkatkan ketegangan antara Tehran dan Britain, selain Amerika Syarikat, berhubung laluan pelayaran di Selat Hormuz.

Laman web penghantaran minyak dalam talian TankerTrackers melaporkan, bahawa MT Riah memasuki perairan Iran pada 14 Julai lalu, dan tidak lama kemudian ia berhenti menghantar isyarat.

Namun, Kementerian Luar India tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai pembebasan sembilan anak kapal terbabit.

Berita pembebasan itu menjadikan jumlah anak kapal India yang masih ditahan adalah 21 orang, termasuk tiga dari kapal MT Riah dan baki 18 adalah dari kapal tangki Stena Impero.

Kapal tangki Stena Impero yang mengibarkan bendera Britain ditahan pasukan keselamatan Iran minggu lalu. - AFP

Berita Harian X