Khamis, 25 Julai 2019 | 12:09pm

Korea Utara lancar dua tembakan jarak dekat

SEOUL: Korea Utara menembak dua objek tidak dikenali ke laut hari ini, kata Ketua Pegawai Korea Selatan, selepas Pyongyang memberikan amaran susulan latihan bersama tentera membabitkan Washington dan Seoul bulan depan.

Menurut Korea Utara, latihan perang itu boleh memberi kesan terhadap rundingan penghapusan program nuklear antara Washington dan Pyongyang yang sepatutnya diadakan semula.

Ketua Pegawai Seoul dalam satu kenyataan berkata, tembakan dua objek tidak dikenali itu masing-masing dilepaskan pada jam 5.34 pagi dan 5.57 pagi (waktu tempatan) dari Wonsan ke Laut Timur.

“Objek terbabit terbang sejauh kira-kira 430 kilometer, justeru tentera kami memantau rapi situasi ini bagi melihat jika wujud pelancaran tambahan dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Sementara itu di Washington, seorang pegawai yang enggan dikenali mengesahkan bahawa ia adalah tembakan jarak dekat.

Pyongyang kali akhir melepaskan tembakan peluru berpandu jarak dekat pada 9 Mei yang dianggap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai satu operasi standard dan disifatkan tidak akan menjejaskan hubungannya bersama Ketua Korea Utara, Kim Jong Un.

Jong Un dan Trump bersetuju untuk mengadakan semula dialog pada pertemuan mengejut antara keduanya 30 Jun lalu di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua Korea.

Susulan pertemuan, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengesahkan bahawa mesyuarat membabitkan kedua negara mungkin bermula pertengahan Julai nanti. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X