Isnin, 22 Julai 2019 | 12:02pm
Beberapa lelaki memakai kemeja-T putih dilihat di Yuen Long selepas menyerang peserta perhimpunan anti rang undang-undang ekstradisi di Hong Kong. Foto Reuters

45 penunjuk perasaan cedera diserang di Hong Kong

HONG KONG: Kira-kira 45 penunjuk perasaan prodemokrasi cedera, termasuk seorang kritikal, selain lima cedera parah selepas diserang kumpulan pengganas dipercayai anggota kongsi gelap.

Keadaan di hab kewangan itu menjadi huru-hara lewat malam tadi, selepas sekumpulan lelaki, sebahagiannya memakai kemeja-T putih, sambil membawa kayu pemukul, tongkat dan batang logam, menuju ke arah peserta demonstrasi antikerajaan, yang dalam perjalanan pulang dari perhimpunan besar-besaran.

Rakaman serangan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, menunjukkan orang ramai menjerit ketika seorang lelaki memukul beberapa penunjuk perasaan dan wartawan di stesen Yuen Long.

Kumpulan terbabit juga dilaporkan turut menyerang orang ramai di dalam kereta api bawah tanah, menyebabkan darah bertaburan di atas lantai.

Susulan itu, pasukan polis menerima kritikan hebat, apabila mengambil masa lebih satu jam untuk tiba di stesen terbabit, selain gagal menahan lelaki bersenjata berkenaan yang terus berkeliaran di jalan raya di sekitar stesen itu, sehingga awal pagi tadi.

Beberapa lelaki berpakaian putih kemudiannya dirakam meninggalkan lokasi kejadian, dengan menaiki kereta dengan nombor pendaftaran tanah besar China. - AFP

Berita Harian X