Ahad, 14 Julai 2019 | 12:42am
Seorang wanita India mencari barang yang boleh diselamatkan berhampiran rumahnya yang musnah akibat banjir di Kampung Kasuarbori, India. - Foto AFP

Sejuta penduduk berpindah, 10 maut banjir di India

GUWAHATI: Hujan lebat monsun di negeri Assam, timur laut India menyebabkan lebih sejuta penduduk terpaksa berpindah dan banjir kilat mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, sejak 72 jam yang lalu.

Menurut pihak berkuasa, sungai Brahmaputra yang mengalir dari pergunungan Himalaya ke India dan ke Bangladesh melimpah ke tebing sehingga menenggelamkan lebih 1,800 perkampungan di negeri itu.

“Seramai 10 orang maut dalam beberapa insiden lemas berasingan, sejak tiga hari lalu dan lebih sejuta penduduk terjejas kerana banjir menjadi lebih teruk,” menurut buletin banjir kerajaan negeri.

Hujan lebat menjejaskan sekurang-kurangnya 25 daripada 32 daerah di Assam dan badan sumber air persekutuan berkata, paras air di Brahmaputra dijangka meningkat dengan ramalan hujan lebih banyak dalam tempoh tiga hari lagi.

Penduduk India melintasi air banjir di kawasan banjir yang terjejas di daerah Morigaon, Assam, India. - Foto EPA

“Situasi banjir masih amat kritikal,” kata Menteri Sumber Air Assam, Keshab Mahanta.

Assam terkenal dengan teh berkualiti tinggi, ia berdepan banjir dan hujan lebat, sejak beberapa tahun, sehingga meragut puluhan nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk berpindah.

Negeri itu berada dalam tahap amaran maksimum memandangkan ramalan hujan lebat untuk tempoh beberapa hari akan datang, kata pihak berkuasa. - Reuters

Wanita India berteduh bersama anaknya atas binaan kayu kecil menunggu surutnya banjir di Kalgachia di daerah Barpeta, India. - Foto AFP

Berita Harian X