Sabtu, 22 Jun 2019 | 1:30pm
Gambar semalam menunjukkan penunjuk perasaan berehat di jalan utama berhampiran ibu pejabat kerajaan di Hong Kong. -Foto AFP

Polis HK ikrar buru pemimpin bantahan

HONG KONG: Polis Hong Kong hari ini berikrar memburu pemimpin bantahan yang mengetuai kepungan 15 jam di ibu pejabat mereka, membabitkan ribuan penunjuk perasaan anti-kerajaan dalam usaha menyingkirkan pemimpin pro-China.

Penunjuk perasaan yang sebahagian besarnya golongan muda mengepung ibu pejabat polis sepanjang semalam sehingga pagi ini, manifestasi terbaharu bantahan kemarahan yang meletus di bandaraya ini.

Hab kewangan antarabangsa itu digegarkan dengan pergolakan politik terburuk sejak penyerahannya kepada China pada 1997.

Jutaan penduduk berarak bulan ini untuk menentang rang undang-undang tidak popular yang dicadangkan untuk membenarkan ekstradisi pesalah ke tanah besar China.

Pihak berkuasa juga menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah minggu lalu untuk menyuraikan satu lagi bantahan besar-besaran di luar Parlimen, mengundang kemarahan terhadap tindakan polis itu.

Gelombang bantahan terkini berpunca daripada cubaan Ketua Eksekutifnya Carrie Lam untuk meluluskan undang-undang ekstradisi disokong Beijing, namun kini ditangguhkan susulan kecaman orang awam.

Bantahan itu bagaimanapun berkembang kepada pergerakan lebih besar menentang pentadbiran Lam dan Beijing selepas bertahun kebebasan politik disekat.

Pemimpin bantahan bercadang mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran 1 Julai ini, namun kumpulan diketuai pelajar berkomunikasi menerusi aplikasi mesej sulit, memulakan tindakan pantas, spontan melaksanakan keingkaran awam.

“Kami perlu mengalir seperti air,” kata seorang penunjuk perasaan dikenali Chris, mengambil falsafah terkenal daripada bintang seni mempertahankan diri Hong Kong, Bruce Lee.

Ketika bantahan semalam di luar ibu pejabat polis, kumpulan besar penunjuk perasaan menyekat pintu masuk, dirakam menerusi kamera CCTV serta menjerit ke arah polis.

Kumpulan bantahan menuntut siasatan terhadap dakwaan kekasaran polis dan membebaskan penunjuk perasaan yang ditahan ketika pertembungan. Pegawai berada dalam bangunan sepanjang kepungan semalam. -AFP

Berita Harian X