Khamis, 20 Jun 2019 | 11:07am
XI Jinping. - Foto AFP
XI Jinping. - Foto AFP

Xi Jinping ke Korea Utara sebelum bertemu Trump

PYONGYANG: Presiden China, Xi Jinping berangkat ke Pyongyang hari ini dalam usaha memperbaiki hubungan negara itu ketika beliau dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un masing-masing berdepan cabaran dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Jinping adalah presiden pertama China yang berkunjung ke Korea Utara, 14 tahun selepas hubungan antara sekutu Perang Dingin itu berantakan akibat provokasi nuklear Pyongyang dan sokongan Beijing terhadap sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Usaha Korea Utara untuk memperbaiki hubungan dengan China terbukti selepas empat kali mengunjungi rakan sejawatnya beberapa tahun lalu malah China turut menggesa agar sekatan ke atas Utara dikurangkan.

Menurut penganalisis politik, China hanya membalas kunjungan itu selepas melihat perkembangan perbincangan berhubung program nuklear di antara Jong-un dan Trump.

“Bagi Korea Utara, pertemuan itu memberikan mesej jelas kepada AS bahawa China menyokongnya (Utara) dan menghantar peringatan kepada Washington bahawa ia patut menghentikan semua bentuk tekanan,” kata Profesor Pengajian Korea Utara, Lim Eul-chul di Universiti Kyungnam.

Kunjungan dua hari ke Korea Utara itu turut disertai isteri Jinping, Peng Liyuan, Menteri Luar, Wang Yi dan beberapa lagi pegawai kanan China, lapor CCTV.

Jinping dijangka bertemu Trump dalam sidang kemuncak G20 di Jepun minggu depan. - AFP

Berita Harian X