Isnin, 17 Jun 2019 | 10:31am
Penunjuk perasaan merehatkan diri di sepanjang laluan disekat Harcourt Road berhampiran bangunan Parlimen ketika bantahan di Hong Kong. Kerajaan Hong Kong mengisytiharkan penutupan pejabat pentadbiran pusat hari ini susulan bantahan. -Foto AFP

Pejabat kerajaan HK ditutup hari ini, gesaan mogok diteruskan

HONG KONG: Kerajaan Hong Kong mengisytiharkan pejabat pentadbiran pusat ditutup sepanjang hari ini ketika bandaraya itu berdepan mogok pekerja selepas perhimpunan bantahan besar-besaran semalam menentang rang undang-undang ekstradisi kontroversi.

Satu notis rasmi dikeluarkan pagi ini bertulis: “Oleh kerana jalan masuk di sekitar Pejabat Kerajaan Pusat (GCO) disekat, GCO akan ditutup sementara hari ini.

“Kakitangan yang bekerja dalam GCO tidak perlu ke tempat kerja dan bekerja menurut pelan kontingensi biro atau jabatan masing-masing. Semua kunjungan ke GCO akan ditunda atau dibatalkan.

“Segelintir penunjuk perasaan daripada perarakan semalam masih berada di jalanan sekitar ibu pejabat kerajaan di Admiralty malam ini, menolak gesaan polis supaya meninggalkan kawasan itu.”

Jutaan penduduk berarak di jalanan pada hujung minggu kedua berturut-turut yang memaksa permohonan maaf daripada Ketua Eksekutif Carrie Lam.

Semalam, penganjur berkata, dua juta orang mengambil bahagian dalam perarakan itu, sementara polis memberi angka 340,000.

Perdebatan rang undang-undang ekstradisi itu ditunda ke tarikh tidak diketahui Sabtu lalu namun ramai bimbang ia mungkin diperkenalkan semula selepas tekanan orang awam reda.

Penganjur bantahan, Barisan Hak Asasi Awam (CHRF) menggesa penduduk bandaraya ini melancarkan mogok hari ini dalam cubaan memberi tekanan kepada kerajaan wilayah supaya memenuhi tuntutan mereka.

“Jika kerajaan enggan memberi maklum balas, lebih ramai penduduk Hong Kong akan mogok esok (hari ini), rakyat akan berarak di jalanan sehingga suara mereka didengari,” kata CHRF dalam kenyataan lewat semalam menerusi laporan The Straits Times Singapura.

Antara tuntutan utama CHRF ialah pemansuhan penuh rang undang-undang ekstradisi, membatalkan pencirian penunjuk perasaan sebagai perusuh dan peletakan jawatan Lam. -Agensi

Berita Harian X