Jumaat, 14 Jun 2019 | 6:34pm
HARTAWAN K-pop, Yang Hyun-suk letak jawatan. - Foto AFP

Tokoh K-pop letak jawatan susulan skandal dadah, seks

SEOUL: Hartawan K-pop, Yang Hyun-suk, meletak jawatan sebagai ketua agensi rakaman terkemuka Korea Selatan, YG Entertainment, susulan skandal dadah dan seks yang menggegarkan syarikatnya.

Yang, pengasas dan ketua penerbit YG Entertainment, berkata beliau ‘berundur daripada semua jawatan dan tanggungjawab’ di agensi itu berkuat kuasa hari ini.

Adik lelaki beliau, Yang Min-suk, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, turut mengumumkan peletakan jawatan.

Pernah menganggotai kumpulan Seo Tae Ji and Boys pada 1990-an, Yang membangunkan YG menjadi kuasa K-pop dengan kejayaan kumpulan seperti BIGBANG dan BLACKPINK.

YG juga adalah kuasa di belakang lagu ‘Gangnam Style’ pada 2012 dinyanyikan Psy yang membawa K-pop ke satu lagi tahap.

“Saya memperuntukkan 23 tahun hidup saya untuk YG Entertainment.

“Namun saya tidak dapat bertahan lagi dengan dakwaan memalukan mengenai pembabitannya dalam skandal dadah yang dianggap seolah-olah berita itu benar,” kata Yang, 49, dalam kenyataan.

Pengumuman dibuat selepas laporan stesen penyiar Korea Selatan, KBS, bahawa Yang cuba menutup mulut seorang individu yang menyediakan dadah terlarang kepada salah seorang artisnya. — AFP

Berita Harian X