Selasa, 11 Jun 2019 | 8:49pm
Pihak berkuasa India berjaya menemui pesawat AN-32 buatan Russia yang hilang di Arunachal Pradesh pada 3 Jun lalu. Foto Agensi

India temui bangkai pesawat tentera udara

NEW DELHI: Pihak berkuasa India berjaya menemui bangkai pesawat yang dinaiki 13 anggota tentera udara, beberapa hari selepas misi mencari dilancarkan di kawasan pergunungan berhampiran China.

Pesawat AN-32 buatan Russia, yang membawa lapan anak kapal dan lima penumpang dilaporkan hilang dari radar pada 3 Jun lalu di Arunachal Pradesh di timur laut negara itu.

Ia dilaporkan hilang kira-kira 35 minit selepas berlepas.

Susulan itu, Tentera Udara India (IAF) dan pasukan darat melancarkan operasi mencari bagi mengesan pesawat terbabit.

“Bangkai pesawat #An32 yang hilang dijumpai hari ini, pada ketinggian 3,658 meter oleh helikopter #IAF Mi-17 yang menjalankan misi mencari selepas zon pencarian diperluaskan.

“Kita sedang berusaha untuk mengenal pasti status penumpang dan mereka yang terselamat,” kata IAF di Twitter.

Minggu lalu, pihak berkuasa menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak 550,000 rupees (RM32,893) bagi mendapatkan maklumat berhubung pesawat dua enjin berkenaan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut meminta kerjasama beberapa ketua kampung untuk menjalankan misi mencari di kawasan hutan di Mechuka.

Pada 2016, sebuah pesawat AN-32 yang dalam perjalanan dari Chennai ke Andaman dan Kepulauan Nicobar dilaporkan hilang ketika berada di Teluk Bengal.

Namun, sehingga kini, pesawat yang membawa 29 penumpang itu masih belum ditemui. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X