Isnin, 10 Jun 2019 | 1:01pm
Carrie Lam. - Foto AFP

Pemimpin Hong Kong tetap teruskan rang ekstradisi

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong pro-Beijing berkata beliau tidak bercadang untuk membatalkan rancangan kontroversi bagi membenarkan ekstradisi ke tanah besar China, sehari selepas sejumlah besar penduduk keluar membantah cadangan terbabit.

“Ia adalah satu undang-undang yang sangat penting dan membantu menegakkan keadilan serta memastikan Hong Kong akan memenuhi tanggungjawab antarabangsanya membabitkan jenayah rentas sempadan dan antara negara,” kata ketua eksekutif, Carrie Lam kepada wartawan.

“Rang undang-undang itu akan diteruskan untuk bacaan kedua pada 12 Jun,” katanya.

Kerajaan bandar itu mencadangkan satu rang undang-undang yang akan membenarkan ekstradisi ke mana-mana bidang kuasa, termasuk tanah besar China, walaupun masih belum ada sebarang perjanjian dimeterai sehingga kini.

Cadangan itu mencetuskan bantahan dan kebangkitan dalam kalangan pembangkang yang bimbang rang undang-undang terbabit akan menjerat rakyat dalam sistem mahkamah China yang dipolitikkan.

Semalam, sejumlah besar penduduk keluar berarak dalam cuaca panas terik di jalan-jalan utama kota pulau berkenaan, mendesak kerajaan membatalkan undang-undang ekstradisi yang dirancang.

Penganjur berkata jumlah itu mencecah jutaan orang dan setakat ini dianggap sebagai protes terbesar sejak penyerahan Hong Kong kepada China pada 1997. - AFP

Berita Harian X