Sabtu, 25 Mei 2019 | 8:42pm
SEORANG pendaki British yang terlalu lemah untuk turun dari Gunung Everest maut. - Foto AFP
SEORANG pendaki British yang terlalu lemah untuk turun dari Gunung Everest maut. - Foto AFP

Angka maut pendaki Gunung Everest meningkat 18

KATHMANDU: Seorang pendaki British yang terlalu lemah untuk turun dari Gunung Everest maut, hari ini, menurut pihak berkuasa.

Mangsa adalah pendaki ke lapan maut di puncak gunung tertinggi dunia itu dan mangsa ke-18 maut di kawasan pergunungan Himalaya, Nepal untuk musim pendakian, kali ini.

Pihak berkuasa memaklumkan kebanyakan kematian berlaku akibat badan lemah, kepenatan dan situasi terkandas di laluan sesak ke puncak 8,850 meter itu.

Robin Haynes Fisher, 41, meninggal dunia di ‘zon maut’ yang terkenal dengan paras rendah oksigen, ketika turun dari puncak, kata pegawai jabatan pelancongan, Mira Acharya.

Beliau adalah kematian ke lapan di Everest untuk musim pendakian kali ini yang akan berakhir hujung bulan ini.

“Beliau meninggal dunia kerana lemah, selepas mendaki untuk tempoh lama dan berdepan kesukaran ketika turun.

“Beliau turun ditemani beberapa pemandu arah Sherpa dari puncak dan pengsan secara tiba-tiba,” kata wakil syarikat Everest Parivar Treks, Murari Sharma yang mengendalikan logistik mangsa.

Beberapa pemandu lain arah menukar botol oksigen Fisher dan memberikan beliau air, namun mangsa tetap tidak dapat diselamatkan, kata Sharma. - Reuters

Berita Harian X