Jumaat, 24 Mei 2019 | 11:19am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Tentera India dakwa bunuh pemimpin pemisah Kashmir

SRINAGAR: Tentera India mendakwa membunuh ketua rangkaian kumpulan militan sekutu al-Qaeda di Kashmir, mencetuskan bantahan di sebahagian wilayah yang menjadi pertikaian itu.

Pegawai kanan polis berkata, Zakir Rashid Bhat, 25, diperangkap pasukan keselamatan di bangunan tiga tingkat di selatan Kashmir dan bangunan dibakar ketika operasi serbuan petang semalam.

“Ketika kami membersihkan serpihan bangunan, dia cuba bangun lalu pasukan kami menembaknya dan dia meninggal dunia,” kata pegawai yang enggan dikenali.

Kata pegawai itu, bantahan oleh penyokong Bhat meletus di Kashmir semalam dan ada laporan bantahan awal hari ini.

Bhat adalah bekas komander kumpulan militan terbesar, Hizbul Mujahideen, yang berjuang menentang pemerintahan India di Kashmir, mengasaskan kumpulannya sendiri dan mengisytiharkan hubungannya dengan al-Qaeda pada 2017.

Dia juga dikenali sebagai Zakir Musa, pengganti Burhan Wani, bekas komander Hizbul Mujahideen yang popular kerana mencetuskan pertempuran hingga menyebabkan 90 orang awam terbunuh pada 2016.

Selama berdekad, kumpulan pemisah berjuang menentang pemerintahan India di Kashmir, dengan majoriti daripada mereka mahukan kemerdekaan untuk wilayah Himalaya itu atau menyertai Pakistan.

India bangkit menentang militan di wilayah majoriti penduduk Islam sejak serangan pengebom nekad pada Februari. Insiden itu mengorbankan 44 anggota tentera separa India di Kashmir, hingga mengheret dua negara berjiran itu dalam kancah peperangan.

Pakistan menafikan menjadi pembekal senjata kepada militan di Kashmir tetapi mengaku memberikan sokongan moral dan diplomatik untuk kemerdekaan rakyat di wilayah itu.

Bimbang bantahan kian menular, pihak berkuasa Kashmir mengarahkan sekolah ditutup dan perkhidmatan kereta api dihentikan sementara di kawasan yang terjejas. - Reuters

Berita Harian X