Jumaat, 17 Mei 2019 | 10:59pm
MADONNA ketika ditemui di Tel Aviv. - Foto Reuters
MADONNA ketika ditemui di Tel Aviv. - Foto Reuters

Palestin kecam kemunculan Madonna di pentas Eurovision

TEL AVIV: Bintang Pop Madonna, masih sempat bersiar-siar menjelang persembahannya sebagai artis jemputan di Pertandingan Nyanyian Eurovision malam esok di Israel, walau dikecam Palestin.

Paparazzi berpeluang merakam gelagat ‘Ratu Pop’ itu ketika dalam perjalanan ke sebuah kelab malam terkemuka di pelabuhan Tel Aviv selepas satu konsert berlangsung di situ.

Penghibur popular itu diiringi pengawal peribadi ketika bersiar-siar di sepanjang kawasan tumpuan berkenaan.

Penyanyi berusia 60an itu berdepan kritikan selepas bersetuju membuat persembahan di peringkat akhir pertandingan Eurovision esok, sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin yang memprotes pendudukan Israel di wilayah Palestin dan pencabulan hak kemanusiaan.

Dalam satu kenyataan terdahulu, Madonna menjelaskan keputusannya untuk menyanyi di pentas Eurovision tidak akan mengubah pendiriannya untuk terus mempertahankan hak kemanusiaan dan berharap satu laluan baharu ke arah perdamaian dicapai.

“Saya tidak akan berhenti bermain muzik hanya untuk memenuhi agenda politik seseorang mahupun berhenti memperjuangkan pencabulan hak kemanusiaan walau di pelusuk dunia mana pun,” katanya

Sementara itu, peringkat separuh akhir Eurovision malam semalam menyaksikan Albania, Azerbaijan, Denmark, Malta, Belanda, North Macedonia, Norway, Russia, Sweden dan Switzerland mara ke peringkat akhir esok. - Reuters

Berita Harian X