Rabu, 15 Mei 2019 | 8:29am
Bekas anggota kumpulan BIGBANG, Seungri (tengah) atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun, dibawa ke pusat tahanan selepas meninggalkan Mahkamah Tinggi di Seoul, semalam. Bintang berusia 28 tahun itu yang juga pengarah perhubungan awam Burning Sun, dikaitkan dengan siasatan polis apabila kakitangan kelab malam itu didakwa merakam wanita menggunakan kamera tersembunyi dan menggunakan arak serta dadah untuk menyerang mereka secara seksual. -Foto AFP

Mahkamah Seoul tolak waran tangkap Seungri

SEOUL: Sebuah mahkamah Korea Selatan semalam enggan mengeluarkan waran tangkap ke atas bintang K-pop, Seungri, berhubung dakwaan termasuk pelacuran dalam skandal seks meluas dikaitkan dirinya, lapor agensi berita Yonhap.

Penyanyi berusia 28 tahun daripada kumpulan lelaki popular BIGBANG dan rakan kongsinya dituduh menguruskan khidmat seks untuk pelabur potensi dan pelanggan kaya di sebuah kelab malam dimiliki mereka.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul berkata, ada ‘ruang pertikaian’ berhubung dakwaan menggelapkan wang dan ada sedikit kebimbangan dia mungkin memusnahkan bukti, kata Yonhap.

Terdahulu, Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun, hadir di mahkamah mendengar pertuduhan ke atasnya.

Dia kemudian meninggalkan bangunan dalam keadaan tangannya bergari dan ditutup dengan kain serta dibawa ke pusat tahanan berhampiran menunggu keputusan mahkamah.

Penyiasat polis mendakwa, Seungri dan rakan kongsinya mendapatkan puluhan pelacur untuk sekumpulan pelabur Jepun pada 2015 di kelab malam mewah mereka, Burning Sun, menurut agensi berita itu.

Kedua-duanya juga dituduh menggelapkan kira-kira 530 juta won (RM1.88 juta) daripada perniagaan itu dan berdepan dakwaan melanggar kod kebersihan di kelab malam terbabit, di mana pengedaran dadah berleluasa dan wanita kerap dirogol.

Seungri, yang mengumumkan persaraannya daripada dunia hiburan Mac lalu susulan skandal itu, menafikan tuduhan ke atasnya.

Bintang lain turut terbabit dalam pertuduhan itu selepas siasatan terhadap Seungri mendedahkan sembang dalam talian di mana sejumlah selebriti lelaki berkongsi video seks dirakam secara haram.

Penyanyi dan penulis lagu, Jung Joon-young, yang mengendalikan ruang sembang itu ditahan Mac lalu selepas mengaku merakam hubungan seksnya dan berkongsi rakaman itu tanpa pengetahuan pasangannya.

Seorang anggota kumpulan lelaki FT Island ditahan awal bulan ini sementara selebriti lain mengumumkan persaraannya di tengah siasatan berterusan. -AFP

Berita Harian X