Ahad, 12 Mei 2019 | 10:24am
BINTANG K-pop, Jung Joon-young mengaku salah terhadap tuduhan merakamkan dan berkongsi video beliau melakukan hubungan seks dengan beberapa wanita. - Foto radaronline.com
BINTANG K-pop, Jung Joon-young mengaku salah terhadap tuduhan merakamkan dan berkongsi video beliau melakukan hubungan seks dengan beberapa wanita. - Foto radaronline.com

Bintang K-pop mengaku salah rakam aksi seks

SEOUL: Penyanyi dan penulis lirik K-pop, Jung Joon-young, mengaku bersalah terhadap tuduhan merakamkan secara rahsia dan berkongsi video beliau melakukan hubungan seks dengan beberapa wanita dalam ruangan sembang atas talian dan mahu membuat penyelesaian dengan mangsa, ketika mahkamah mula mendengar kesnya kelmarin.

Jung, 30, didakwa dengan tuduhan merakamkan dirinya melakukan seks dengan beberapa wanita dan berkongsi rakaman itu 11 kali di ruangan sembang yang menyaksikan bekas anggota kumpulan Big Bang, Seungri dan bekas anggota FT Island, Choi Jong-hoon, juga disyaki berkongsi gambar wanita yang diambil secara haram.

Jung tidak perlu hadir pada sesi pendengaran awal, tetapi beliau muncul memakai sut hitam.

Jung, pada awalnya menafikan dakwaan, tetapi kini mahu mencapai penyelesaian dengan mangsa video seks yang dirakamkan tanpa izin itu.

Dalam kes berasingan, Jung juga disiasat kerana didakwa terbabit dalam dua kes rogol beramai-ramai seorang wanita pada 2016.

Dia disyaki merogol wanita itu bersama-sama Choi, yang ditahan lewat Khamis lalu atas tuduhan itu.

Pendakwaan dijangka memutuskan sama ada untuk mendakwa beliau selepas siasatan lanjut. — Agensi

Berita Harian X