Sabtu, 4 Mei 2019 | 9:07am
KESAN kemusnahan teruk di sepanjang pantai timur India akibat dilanda taufan Fani. - Foto AFP
KESAN kemusnahan teruk di sepanjang pantai timur India akibat dilanda taufan Fani. - Foto AFP

9 korban Fani di India, Bangladesh

KOLKATA: Taufan Fani menuju ke bandar raya Kolkata hari ini selepas meninggalkan kesan kemusnahan teruk di sepanjang pantai timur India.

Fani, antara ribut paling kuat di Teluk Benggala dalam masa beberapa dekad, dilapor sudah menyebabkan lapan kematian di India dan seorang di Bangladesh, sebahagiannya terkena pokok yang diterbangkan dan ketulan konkrit yang dibawa angin kencang.

Ketika beransur lemah, ribut yang mengumpul kekuatan angin 200 kilometer sejam, menghasilkan hujan lebat di Kolkata, dan jalan raya yang sentiasa sibuk kelihatan lengang menjelang ketibaan Fani, yang bermakna ‘ular’ dalam bahasa Benggali.

Lapangan terbang antarabangsa di bandar raya dengan lima juta penduduk itu diarah tutup. Perkhidmatan kereta api juga digantung.

Ribut itu bergerak ke utara ke Benggala Barat dari Odisha, yang menyaksikan lebih sejuta penduduk dipindahkan dari kawasan pantai.

Lapan maut di Odisha, lapor agensi Press Trust of India (PTI), termasuk seorang remaja lelaki yang dihempap pokok dan seorang wanita yang terkena konkrit.

Pihak berkuasa di Bangladesh, laluan Fani seterusnya, berkata seorang wanita terbunuh dihempap pokok, dan 14 kampung banjir apabila gelombang kuat memecahkan empangan banjir sebelum ribut itu melanda.

Kira-kira 400,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan. — AFP

Berita Harian X