Rabu, 1 Mei 2019 | 7:48pm

Ribut siklon, ratusan ribu penduduk India dipindahkan

BHUBANESHWAR: India memulakan pemindahan ratusan ribu penduduk kampung di sepanjang pesisir pantai timur laut negara itu, sebelum ribut siklon kuat dijangka tiba ke darat, Jumaat ini.

Negeri Odisha turut menggerakkan ribuan kakitangan pengurusan bencana untuk membantu penduduk yang tinggal di kawasan rendah untuk berpindah ke pusat perlindungan daripada ribut siklon teruk Fani.

“Kami melakukan yang terbaik memaklumkan mereka mengenai siklon ini dan memindahkan penduduk terdedah ke pusat perlindungan,” kata pesuruhjaya bantuan khas negeri, Bishnupada Sethi.

Pelancong turut dinasihatkan supaya meninggalkan kawasan kuil pesisir pantai di Puri yang menjadi destinasi suci untuk pengunjung ibadat Hindu.

Musim siklon India biasanya berlangsung antara April hingga Disember di mana banyak ribut kuat membawa kepada pemindahan puluhan ribu penduduk, banyak kematian dan kerosakan terhadap tanaman atau harta.

Dua dekad lalu, satu siklon super melanda pesisir Odisha selama 30 jam mengakibatkan 10,000 orang maut. Pada 2013, hampir sejuta penduduk dipindahkan dan usaha itu berjaya menyelamatkan ribuan nyawa.

Penjejak risiko ribut siklon tropika melabelkan Fani sebagai ribut kategori tiga daripada skala satu hingga lima. - Reuters

Berita Harian X