Rabu, 17 April 2019 | 1:55pm
Polis New Zealand hari ini menamatkan rondaan rutin pegawai barisan hadapannya.
Polis New Zealand hari ini menamatkan rondaan rutin pegawai barisan hadapannya.

New Zealand lucut senjata polis, kurang tahap ancaman

WELLINGTON: Polis New Zealand hari ini menamatkan rondaan rutin pegawai barisan hadapannya apabila tahap ancaman keganasan diturunkan sebulan selepas pembunuhan beramai-ramai di masjid Christchurch.

Pengurangan tahap ancaman daripada tinggi ke sederhana bermaksud, pihak berkuasa menilai cubaan serangan, tingkah laku jenayah atau protes ganas kekal sebagai ‘munasabah’ berbanding ‘sangat mungkin’.

Tahap itu masih lebih tinggi berbanding sebelum insiden serangan 15 Mac lalu, yang berada pada tahap rendah.

Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata, tiada ancaman khusus ketika ini, tetapi agensi-agensi keselamatan percaya, tahap sederhana adalah gambaran tepat status semasa New Zealand.

Mengikut sejarah, polis barisan hadapan New Zealand tidak membawa senjata api dan ramai terkejut melihat mereka lengkap bersenjata selepas 50 orang Islam ditembak mati semasa solat Jumaat 15 Mac lalu.

Pesuruhjaya Polis, Mike Bush berkata, keputusan itu dibuat selepas satu rundingan dengan masjid dan Pusat Islam dicapai berhubung keselamatan berterusan, namun tidak berkongsi butirannya.

Polis juga mengeluarkan garis masa serangan masjid, yang menunjukkan ia mengambil masa 18 minit selepas panggilan kecemasan pertama dibuat sehingga pengganas itu ditangkap.

Seorang warga Australia berusia 28 tahun, Brenton Tarrant, pelampau ketuanan kulit putih, berdepan 50 dakwaan membunuh dan 39 cubaan membunuh susulan serangan itu. - AFP

Berita Harian X