Sabtu, 13 April 2019 | 1:33am
ANGGOTA paramedik mengusung mangsa yang tercedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di sempadan Gaza. - Foto AFP
ANGGOTA paramedik mengusung mangsa yang tercedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di sempadan Gaza. - Foto AFP

Pemuda dibunuh tentera Israel di sempadan Gaza

GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 17 penduduk cedera dan seorang remaja Palestin terkorban semasa pertempuran terbaru dengan tentera Israel di sempadan Gaza, hari ini.

Jurucakap kementerian kesihatan Palestin berkata remaja terbabit, Maysara Abu Shaloof, 15, ditembak di bahagian perut oleh tentera Israel di timur Jabalia.

Tambahnya, 17 mangsa lain dilaporkan cedera semasa pertempuran berlaku di beberapa tempat sepanjang sempadan Gaza.

Namun, tentera Israel enggan memberikan komen lanjut mengenai insiden itu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 264 penduduk Palestin dibunuh tentera Israel sejak insiden rusuhan yang bermula tahun lepas.

Ramai yang terbunuh ketika rusuhan, ditembak dengan kereta kebal dan serangan udara.

Difahamkan hanya dua tentera Israel yang terbunuh dalam insiden itu. -AFP.

Berita Harian X