Jumaat, 5 April 2019 | 8:37pm
SUSPEK utama pembunuhan kejam babitkan dua masjid di Christchurch yang meragut 50 nyawa bulan lalu diarahkan menjalani ujian psikiatri,
SUSPEK utama pembunuhan kejam babitkan dua masjid di Christchurch yang meragut 50 nyawa bulan lalu diarahkan menjalani ujian psikiatri,

Suspek pembunuhan Christchurch diarah jalani ujian psikiatri

CHRISTCHURCH : Suspek utama pembunuhan kejam membabitkan dua masjid di Christchurch yang meragut 50 nyawa bulan lalu diarahkan menjalani ujian psikiatri bagi melihat jika dia waras untuk dibicarakan.

Ruang mahkamah dipenuhi saudara-mara mangsa yang terbunuh dalam tragedi 15 Mac lalu dan individu terselamat, ketika suspek, Brenton Tarrant muncul menerusi pautan audio visual, secara langsung dari penjara dengan kawalan keselamatan maksimum di Auckland.

Rakyat Australia berusia 28 tahun itu berdepan 50 tuduhan membunuh dan 39 cubaan membunuh selepas melepaskan tembakan di dua masjid yang menggemparkan seluruh dunia serta mengocak kedamaian New Zealand.

Hakim Mahkamamah Tinggi, Cameron Mander mengeluarkan perintah ketika sesi pendengaran itu supaya Tarrant diperiksa dua pegawai perubatan bagi melihat jika dia waras untuk dibicarakan.

Suspek yang mendakwa dirinya sebagai pelampau kulit putih duduk membatu sepanjang sesi pendengaran dan mendengar dengan penuh minat semua prosiding itu.

Dia tidak dibenarkan membuat rayuan dan ditahan reman sehingga sesi mahkamah berikutnya pada 14 Jun nanti.

Kira-kira 50 individu berada di galeri awam untuk melihat wajah suspek pembunuhan terburuk dalam sejarah moden New Zealand itu.

Walaupun orang ramai berpeluang melihat wajah Tarrant di layar, kedudukan kamera di dalam mahkamah itu disusun khas bagi membolehkan latar belakang penjara hanya dilihat oleh hakim serta barisan peguam.

Untuk sebahagian besar individu, ini adalah kali pertama wajah pembunuh berkenaan dipertontonkan kepada mereka. - AFP

Berita Harian X