Ahad, 31 March 2019 | 8:49am
PENDUDUK Palestin bertempiaran lari selepas ditembak tentera Israel. - Foto EPA
PENDUDUK Palestin bertempiaran lari selepas ditembak tentera Israel. - Foto EPA

Empat penduduk Palestin maut dalam rusuhan terbaru

GAZA CITY: Ribuan penduduk Gaza berhimpun di sempadan Israel semalam sebagai memperingati genap setahun pertempuran dan tunjuk perasaan yang berlaku di situ.

Susulan kejadian, empat penduduk Palestin maut ditembak rejim Zionis, masing-masing seorang ketika tunjuk perasaan lewat Jumaat dan tiga remaja berusia 17 tahun lewat malam tadi.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan di Gaza, 316 penduduk lagi cedera dalam kejadian itu.

Kebimbangan bahawa keadaan menjadi bertambah buruk seperti yang berlaku 14 Mei tahun lalu apabila lebih 60 penduduk Palestin terbunuh bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.

Dalam rusuhan tahun lalu itu, ribuan penduduk Palestin merusuh selepas Amerika Syarikat (AS) bertindak memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis, sebagai menyokong pengisytiharan dibuat rejim Zionis yang menjadikan tapak suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel.

Israel mengerahkan beberapa ribu tentera di sepanjang sempadan, berikutan ulang tahun rusuhan terbabit berlaku hanya beberapa hari menjelang pilihan raya mereka pada 9 April nanti.

Pada masa sama, Mesir cuba memainkan peranan sebagai orang tengah antara Israel dan Hamas yang memerintah Palestin untuk menghentikan keganasan berkenaan.

Sumber Hamas memberitahu, persetujuan berjaya dicapai yang akan menyaksikan Israel mengurangkan sekatan ke atas Gaza bagi memastikan keadaan bertukar tenang. - AFP

Berita Harian X