KABUL: Sekurang-kurangnya 35 terbunuh dalam banjir kilat di Afghanistan yang memusnahkan kediaman dan mengakibatkan sebahagian besar perkampungan di pedalaman negara itu terputus hubungan, kata pihak berkuasa hari ini.
Banjir yang bermula sejak awal semalam membunuh sekurang-kurangnya 12 orang di wilayah utara Faryab dan 10 di wilayah barat Herat, kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Afghanistan (ANDMA), Hashmat Bahaduri.
Menurut Bahaduri, lapan orang terbunuh di barat wilayah Badghis dan lima lagi di utara wilayah Balkh.
Tambahnya, setakat ini lebih 3,000 kediaman musnah akibat bencana itu.
Pengarah Palang Merah di Herat, Afghanistan, Mir Gulabuddin Miri, berkata sebahagian kawasan di pedalaman terputus hubungan, menghalang pasukan penyelamat membantu penduduk yang terjejas.
“Kawasan yang terjejas akibat bencana itu besar. Lebih 12 kawasan di wilayah ini terjejas teruk dan penduduk kehilangan kediaman mereka. Kami hanya mampu menyalurkan bantuan makanan dan selimut setakat ini,” katanya.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh akibat banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat yang menghanyutkan ribuan kediaman dan kenderaan di selatan wilayah Kandahar. - AFP