Rabu, 27 March 2019 | 4:42pm
PERDANA Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto EPA

Buang kandungan ganas atau dipenjara - PM Australia

CANBERRA: Australia memberi amaran kepada media sosial terkemuka bahawa eksekutif mereka boleh dipenjara jika mereka gagal membuang dengan segera kandungan melampau.

Perdana Menteri, Scott Morrison, bertemu dengan beberapa firma teknologi semalam termasuk Facebook, Twitter dan Google, untuk mengetahui cara mereka memastikan platform masing-masing tidak dijadikan ‘senjata’ oleh pengganas, ketika Canberra mempertimbangkan undang-undang baru susulan pembunuhan beramai-ramai di New Zealand.

“Media sosial boleh mendapatkan iklan untuk anda dalam masa setengah saat.

“Mereka sepatutnya boleh membuang bahan pengganas dan bahan bahaya lain dalam masa sama dan menggunakan kapasiti mereka kepada cabaran sebenar untuk memastikan keselamatan rakyat Australia,” kata Morrison kepada wartawan menjelang pertemuan itu.

Facebook berkata, ia segera membuang 1.5 juta video serangan dua masjid di Christchurcg pada 15 Mac lalu, yang dilakukan penstriman secara langsung di media sosial oleh pengganas kulit putih Australia, Brenton Tarrant.

Video selama 17 minit mengenai serangan yang mengorbankan 50 jemaah mudah ditonton atas talian dan pakar berkata ia boleh dibuang dengan mudah beberapa jam selepas serangan.

Peguam Negara Australia, Christian Porter, berkata firma teknologi tidak memberi sambutan baik ketika pertemuan itu.

“Perbincangan lebih penting yang kami mahukan hari ini adalah bagaimana bertindak lebih cepat atau menghalang penstriman lansung bahan seperti ini?

“Jawapan kepada persoalan itu tidak begitu memuaskan,” katanya.

Porter berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengenakan hukuman penjara kepada eksekutif ketika ia menggubal undang-undang baru. — AFP

Berita Harian X