Jumaat, 22 March 2019 | 7:25am
Pasukan ‘pemeriksa senjata’ polis New Zealand mengunjungi rumah penembak di bandar selatan Dunedin pada Oktober 2017 sebelum meluluskannya sebulan kemudian. -Foto Agensi
Pasukan ‘pemeriksa senjata’ polis New Zealand mengunjungi rumah penembak di bandar selatan Dunedin pada Oktober 2017 sebelum meluluskannya sebulan kemudian. -Foto Agensi

Polis NZ lawat rumah penembak sebelum beri lesen

CHRISTCHURCH: Polis New Zealand mendedahkan hari ini, mereka bertemu penembak masjid, Brenton Tarrant di rumahnya pada Oktober 2017 sebelum memberi lesen yang membolehkannya membeli senjata digunakan dalam insiden tembakan Jumaat lalu.

Pengganas nasionalis Australia itu memohon lesen senjata api pada September 2017 dan pasukan ‘pemeriksa senjata’ polis mengunjungi rumahnya di bandar selatan Dunedin bulan berikutnya, kata seorang jurucakap polis.

“Satu daripada langkah memperoleh lesen senjata api ialah lawatan rumah untuk bertemu pemohon dan memeriksa kawalan keselamatan di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan polis melakukan lawatan pada Oktober, menemuramah Tarrant dan menjalankan satu ‘pemeriksaan keselamatan’ di rumahnya.

“Selepas itu, semua maklumat diperoleh disemak dan lesen diluluskan pada November 2017,” kata polis.

Tarrant juga memberi nama dua penduduk tempatan sebagai rujukan yang turut ditemu ramah oleh polis dan ‘memenuhi syarat proses,’ katanya tanpa mengenalkan dua individu terbabit.

Pihak berkuasa berkata, Tarrant membeli secara sah sejumlah senjata pada Disember 2017, termasuk dua raifal semi-automatik, dua senapang patah dan senjata digunakan dalam serangan 15 Mac ke atas dua masjid di sini, mengorbankan 50 orang dan 50 lain cedera.

Tarrant ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh. Enam hari selepas serangan, Perdana Menteri Jacinda Ardern mengumumkan larangan segera senjata semi-automatik ala tentera dan raifal serta alat lain yang boleh digunakan untuk mengubah suai senjata. -AFP

Berita Harian X