Khamis, 21 March 2019 | 7:48am
RATUSAN penduduk berkumpul memberi penghormatan terakhir penuh emosi kepada Sayyad Milne. - Foto EPA
RATUSAN penduduk berkumpul memberi penghormatan terakhir penuh emosi kepada Sayyad Milne. - Foto EPA

Pengebumian mangsa keganasan NZ diteruskan hari ini

CHRISTCHURCH: Remaja yang mengimpikan untuk menjaringkan gol bagi kelab bola sepak Manchester United antara mangsa terbaharu pembunuhan beramai-ramai dua masjid di New Zealand yang dikebumikan hari ini.

Ratusan penduduk, termasuk pelajar, berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir penuh emosi kepada Sayyad Milne, 14, yang berminat dengan bola sepak dan antara 50 mangsa tembakan rambang pengganas kulit putih Jumaat lalu.

Bapa Sayyad, John Milne, berkata anak lelakinya ditembak mati ketika bersolat di Masjid Al Noor, lokasi pertama daripada dua yang menjadi sasaran pelampau Australia, Brenton Tarrant.

Milne, yang juga berada dalam majlis pengebumian hari ini, sebelum ini menggambarkan Sayyad sebagai ‘anak baik’ dan ‘amat istimewa’, yang ingin bermain untuk kelab bola sepak di utara England itu.

Orang ramai tiba di tanah perkuburan dalam barisan panjang, pelajar wanita berusaha memastikan tudung mereka sempurna di tengah keadaan berangin.

Seorang yang hadir melaungkan Allahu Akbar menerusi pembesar suara menandakan solat jenazah bermula.

Tariq Omar, 24, yang menjadi jurulatih pasukan bola sepak remaja, juga dikebumikan hari ini.

Pengarah Akademi Christchurch United, Colin Williamson, menggambarkan Omar sebagai ‘individu baik dengan hati luar biasa dan sukakan tugasnya sebagai jurulatih’. — AFP

Berita Harian X